Tuesday, December 28, 2004

TsUnaMi Oh TsUnAmI..............

COLOMBO: Sekurang-kurangnya 8,700 orang terbunuh di Sri Lanka, Indonesia, Maldives, Myanmar, Bangladesh dan Thailand setakat ini selepas gempa bumi terkuat sejak 40 tahun lalu menyebabkan ombak besar atau tsunami melanda pesisiran pantai Asia, menggemparkan penduduk rantau itu, semalam.



Beribu-ribu orang hilang, kebanyakannya nelayan ketika anggota penyelamat meredah banjir bagi mencari dan menyelamatkan mangsa.

Pelancong, nelayan, hotel, kediaman dan kereta dibawa air berikutan tsunami kerana gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter, dengan pusat gempa di pantai barat Pulau Sumatera, Indonesia, menyebabkan banjir dan meruntuhkan bangunan.

Kesan sebenar bencana itu hanya ketara selepas beberapa ombak besar setinggi enam meter melanda kawasan pesisiran pantai Lautan Hindi dan Laut Andaman.

Di Sri Lanka, kira-kira 1,600 kilometer dari pusat gempa, menyaksikan sekurang-kurangnya 4,500 orang maut.

Pihak berkuasa berkata, sejuta penduduk turut terjejas berikutan banjir susulan daripada tsunami itu.

Di India, pihak berkuasa berkata sekurang-kurangnya 2,000 lagi maut di sepanjang pesisiran pantai di selatan negara itu manakala 289 disahkan mati di Thailand.

Angka korban meningkat sepanjang hari semalam dan dijangka terus bertambah.

Beratus-ratus mayat ditemui di beberapa pantai sepanjang Tamil Nadu, di selatan India.

Pusat gempa adalah kira-kira 40 kilometer di dasar laut. Gerak gempa lazimnya berlaku bagi kejadian gempa berukuran lebih 7.0 pada skala Richter.

Dalam kejadian semalam, kesan gempa bumi itu dirasai di kawasan lebih jauh, menyebabkan bangunan bergegar dari Singapura sehingga ke bandar Chiang Mai di utara Thailand dan di Bangladesh, beberapa jam selepas penganut Kristian meraikan Krismas.

Kemusnahan awalnya berpusat di wilayah Aceh, utara Sumatera dengan berpuluh-puluh bangunan dilaporkan roboh biarpun di kebanyakan tempat lain, kematian berpunca daripada banjir.

Beberapa bandar berhampiran pusat gempa itu turut ranap diratakan ombak besar yang menyebabkan sekurang-kurangnya 1,902 mati.

Di selatan Thailand, suasana percutian bertukar duka di kawasan percutian utamanya yang lazimnya dikunjungi beratus-ratus ribu pelancong asing sempena cuti Hari Krismas.

Sekurang-kurangnya 289 mati manakala 5,000 lain cedera dan ramai lagi, termasuk pelancong asing hilang.

“Tiba-tiba, jalan raya ditenggelami air dan orang ramai bertempiaran lari dari pantai,” kata John Hyde, ahli Parlimen Australia yang bercuti Thailand.

Di Myanmar, 10 penduduknya dilaporkan terbunuh dan dua di Bangladesh kerana tsunami.

“Ramai mangsa yang sedang menaiki motosikal turut dibawa air,” kata seorang lagi pelancong Australia, Simon Morse.

“Malah ada kereta yang dibawa arus dan angin kencang yang seakan memusnahkan apa saja dalam laluannya.”

Pemilik dua kawasan peranginan di Pulau Phi-Phi yang pernah menjadi lokasi filem Hollywood, ‘The Beach’ dibintangi Leonardo DiCaprio, berkata 200 unit banglonya turut dibawa air ke laut, bersama dengan pekerja dan pelanggannya.

Di Maldives, ombak besar melanda kawasan peranginan popular yang terletak di barat daya India, mencederakan seorang pelancong Itali selain memaksa lapangan terbangnya ditutup.

Seorang lelaki Britain pula mati kerana diserang sakit jantung sebelum ombak besar melanda kawasan itu. – AP

0 Comments:

Post a Comment

<< Home